Membaca The Plains 1

Gerald Murnane


20 Mac 2018

Saya sedang menghampiri penghujung novel Gerald Murnane The Plains dan saya tidak ingin ia berakhir. Saya masih ingin berdiri dan melihat keluar jendela. Ada tiga jendela saya sedang maksudkan di sini. Jendela apartmen saya, jendela buku Murnane, dan jendela dalam buku Murnane. Ketiga-tiga bahagian tidak boleh dipisahkan apabila saya membaca atau berhenti membaca The Plains. Saya melihat keluar jendela Murnane untuk saya melihat keluar jendela apartmen saya.  

* * *

Pagi tadi saya bangun lewat kerana selsema saya belum lega. Benda pertama saya lakukan selepas membuka mata ialah merangkak ke tepi katil dan mencari video tentang Murnane di YouTube. Saya tahu Murnane ialah pengarang Australia dan beberapa tahun lepas saya pernah menonton video tentang bilik menulisnya. Masa itu saya sedang membaca Inland dan agak lama saya meninggalkan Murnane untuk beralih ke tulisan pengarang lain. Saya jarang membaca berturut-turut karya seorang penulis kerana saya memerlukan masa untuk menyerap gaya bahasanya dan menterjemahkan imaginasinya ke dalam bentuk emosi yang lebih mudah. Hasil carian saya hanya menemukan tiga video tentang Murnane. Saya tonton wawancara yang dibuat oleh penerbit Murnane iaitu Giramondo Publishing. Sekali lagi saya dibawa masuk ke bilik menulis Murnane dengan ruang serba Spartan dan kabinet fail yang dia sebut sebagai arkib. Murnane mempunyai minat yang luar biasa dengan negara Hungary; dia bukan sahaja membaca sastera Hungary, dia mempelajari bahasa tersebut. Dia mempunyai satu laci khas untuk apa-apa bahan berkaitan bahasa Hungary. Kalau kita fikir betul-betul, fiksyen Hungary selalunya suram dan sarat dengan kritikan sosial. Ia sangat berbeza dengan dunia tanah rata dan terbentang luas Murnane. Hujung minggu lalu, saya memandu kereta seorang diri ke Kedah, dan apabila saya melintas sawah sekitar Sungai Petani dan Gurun, saya teringat tentang Shahnon Ahmad dan betapa dekatnya dunia Shahnon dengan dunia Murnane.

* * *

Cicero pernah kata kalau seseorang ingin hidup bahagia, dia hanya memerlukan sebuah perpustakaan dan taman. Saya kutip falsafah ini daripada catatan Karl Ove Knausgaard mengenai pemandangan di luar jendela biliknya. Menurut Knausgaard semasa dia masih remaja, dia merasakan pendapat Cicero sangatlah borjuis serta bosan. Knausgaard sendiri membesar dengan seorang ayah yang gemar membuat kerja taman dan mengumpul setem. Kemudian apabila dia mencapai pertengahan umur, rutin sama dan pemandangan sama melintas di luar jendelanya. Taman. Dan perubahan waktu yang perlahan. Ibarat daun yang menyalinkan warnanya pada setiap musim. 

* * *

Apabila kita melihat keluar jendela, kita sebenarnya membingkaikan pemandangan, dan secara tidak langsung membingkaikan sudut pandang dunia kita. Bagi seorang ahli realisme spekulatif seperti Graham Harman, sudut pandang ini bukan sudut pandang hakiki tentang dunia; ia masih sudut pandang subjektif kerana kita memilih apa kita ingin lihat dan bagaimana kita melihatnya. Saya kira proses ini tidak ada beza dengan perjalanan membaca sebuah novel. Seperti saya kata tadi, The Plains mempunyai tiga lapisan jendela. Lapisan kedua ialah lapisan yang Murnane sendiri lihat apabila dia menulis. The Plains dibahagikan kepada tiga bahagian, dan sekali lalu, saya belum nampak secara jelas apakah perbezaannya. Saya selalu percaya fungsi kritikan ialah untuk memahami sudut pandang seorang pengarang dan menterjemahkan pengalaman tersebut dalam bahasa paling mudah kepada pembaca. Tetapi ada kemungkinan besar Graham Harman tidak akan bersutuju dengan kaedah kritikan saya ini. Dia akan melihat The Plains sebagai objek mandiri walaupun asalnya ia ditulis oleh Murnane. Dan setiap objek mandiri, dalam falsafah Object Orientated Ontology (OOO), tidak boleh bersentuhan secara langsung. Justeru keinginan saya untuk melihat keluar jendela bersama Murnane hanya akan memberikan saya kefahaman terbatas tentang The Plains. Saya perlu membuka jendela dan berjalan ke tengah padang. Saya perlu mencari dan melihat dunia novel ini melalui jendela yang lebih luas dan terbuka.   

Comments

Popular Posts