Surat Gadis Masa Lalu untuk Lelaki Masa Depan



Kepada saudara yang menunggu di masa depan,

Bagaimanakah surat ini sampai ke tangan saudara? Adakah langit masih biru apabila saudara membuka mata jendela? Bilakah kali terakhir saudara melihat gerhana matahari? Saudara masih ingat angkasawan pertama negara? Saudara masih ingat bagaimana untuk mengikat kasut dan membungkuskan hadiah? Saudara masih ingat nama tren ekspress ke utara? Saudara masih ingat cinta pertama saudara? 

Jika saudara boleh berpatah balik ke belakang, pintu rumah siapakah saudara akan ketuk terlebih dahulu? Jika saudara boleh berpatah balik ke belakang, saudara akan menyelematkan Jesus atau Buddha? Jika saudara boleh berpatah balik ke belakang, saudara akan memilih Kirk atau Picard? Jika saudara boleh berpatah balik ke belakang, adakah saudara akan melompat keluar dari tingkap kapal terbang di saat ia sedang menjunam ke permukaan laut? Jika saudara boleh berpatah balik ke belakang, adakah saudara akan memilih untuk mencintai perempuan lain? Jika saudara boleh berpatah balik ke belakang, adakah saudara akan mengubah mana-mana daripada pertanyaan saya? 

Tetapi saudara. Bukankah masa itu tidak mengenal cinta? Bukankah masa itu melupai sesuatu untuk kita melupakan sesuatu? Bukankah masa itu ibarat kartu tren yang tertinggal di bangku koc? Bukankah masa itu ibarat komet Hailey yang melambai dari angkasa setiap 75 tahun? Bukankah masa itu ibarat kata-kata terakhir yang Virginia Woolf tinggalkan kepada suaminya? Bukankah masa itu ibarat bingkai kepada sekeping foto? Bukankah masa itu  ibarat angan-angan dalam fikiran seekor harimau sarkas?      

Jika Tuhan mengizinkan, surat ini akan sampai kepada saudara, dan saudara membaca tulisan daripada seorang penulis yang sudah tiada. Dan jika Tuhan mengizinkan sebaliknya, surat ini akan sampai juga kepada saudara, dan saudara akan menerimanya daripada tangan seorang penulis yang masih hidup.

Sekian dahulu saudara,
Saya ingin mencari botol dari masa lalu untuk dicampak ke laut di masa depan. 

  

Comments

Popular Posts