Kebahagiaan Menulis Novel



Saya terbaca di blog Eka Kurniawan tadi tentang Malcom Gladwell yang mengatakan kita perlu latihan konsisten selama 10.000 jam untuk menjadi orang berjaya. Ketepatan angka itu tidak penting kerana ia hanya anggaran kasar. Kalau anda seorang penulis, anda memang wajib membaca dan menulis selama berjam-jam, berhari-hari, malah bertahun-tahun sebelum anda dapat menemui bahasa dan suara kepengarangan yang sepadan dengan diri anda. Kalau anda bernasib baik, di usia belasan tahun anda sudah boleh menulis puis hebat seperti Rimbaud. Tetapi Rimbaud juga bersara awal di usia 21 tahun. Sehebat mana pun bakat asal seorang penulis, dan sekuat mana pun dia berlatih menyusun kata-kata di atas kertas, penanya akan tumpul kalau dia tidak mengembangkan sumber kreativiti. Tentang disiplin menulis novel, saya akan ingat nasihat Neil Gaiman: bayangkannya seperti kerja menyusun bata. Sebagai kaedah kerja, betul, seorang novelis akan menyusun halaman demi halaman sehingga himpunan halaman itu menjadi sebuah rumah (dan kalau lebih hebat, ia menjadi sebuah kota atau negara). Tetapi kaedah ini hanya pandangan luaran terhadap kehidupan seorang novelis. Kalau menulis novel itu semudah kerja buruh menyusun bata, saya fikir semua orang akan membuat kerja sambilan menulis novel. Apabila seorang novelis mencari idea, antara benda dia akan lakukan ialah mencari peralatan bahasa yang tepat. Ibarat tukang kayu mencari tukul, pembaris, dan paku di dalam stor bengkel. Bahasa yang dipilihnya datang daripada buku dan pebualan yang dia temui dan pelajari sepanjang pengalaman hidupnya. Kemudian apabila semua peralatan sudah berada di tangan, apa dia harus buat? Ini soalan paling susah sebenarnya. 10.000 jam latihan pun tidak boleh menjamin novelis itu akan tahu apakah karya dia ingin cipta. Imaginasi adalah cara seorang novelis membayangkan hubungannya dengan dunia. Imaginasi tidak boleh diajar. Imaginasi adalah sifat semula jadi yang harus sentiasa dijaga dan dihiburkan sepanjang masa. David Lynch membayangkannya sebagai aktiviti memancing ikan. Saya tidak pernah memancing ikan, tetapi saya boleh membayangkan kesabaran yang diperlukan. Seorang novelis bersabar menulis novel bukan kerana dia ingin membuang dosa atau mengubah dunia. Seorang novelis bersabar menulis novel kerana dia tidak tahu kerja lebih membahagiakan daripada menulis novel. 


Comments

Popular Posts