Novel Keempat: No One Gets Out Alive




Bukan novel horor kalau moodnya tidak menakutkan. Keberkesanan sebuah novel horor bukan sangat tentang emosi seram seperti yang kita rasa apabila ada bayang kucing melintas tingkap bilik kita di tengah malam, atau bunyi gemerincing di bawah peti sejuk, atau lembaga hitam yang kita nampak berdiri di atas lebuh raya. Seram hanya reaksi spontan kepada sesuatu situasi. Sementara horor atau ketakutan adalah tikaman minda kepada hubungan kita dengan waktu dan kekuasaan alam.
 
Sebagai seorang peminat tegar H. P. Lovecraft, saya harus akui, cerita-ceritanya memang tidak menyeramkan langsung. Malah dalam sesetengah cerita, bahasa Lovecraft sangat arkaik dan amatur. Namun kenapa cerita Lovecraft  masih boleh menakutkan kita? Suasana atau mood. Nak melukis suasana cerita yang detail dan organik, memerlukan daya imaginasi tinggi, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan dunia yang asing daripada kehidupan harian kita. Lovecraft  boleh melakukannya kerana imaginasinya sangat tinggi sehingga kita bersedia untuk percaya sebuah pekan terpencil bernama Arkham boleh dirasuk oleh pelbagai jenis makhluk ajaib dari alam lain. Kadang-kadang untuk kita memahami alam semesta kita, ia harus dibandingkan dengan alam lain yang lebih gerun, kaos, dan tidak rasional.

Kita harus mencipta mitos yang  akan memakan mitos yang sudah sedia ada.

Adam Nevill tidak mencipta mitos dalam novelnya No One Gets Out Alive. Dia bukan seorang Lovecraft yang merenung ke angkasa dan menemui tuhan baru di sana. Nevill lebih mirip kepada rakan senegaranya dari England iaitu Algernon Blackwood. Mereka sama-sama berminat dengan mitos tempatan, terutama sekali unsur alam yang berhantu atau puaka. Dan seperti Blackwood, Nevill adalah pakar dalam pembinaan latar dan suasana teror.

No One Gets Out Alive mempunyai premis yang mudah: seorang gadis bernama Stephanie Booth sedang mencari kerja dan terpaksa menyewa di sebuah rumah terbiar di 82 Edgehill Road. Ternyata ini bukan sebarangan rumah. Selain menjadi sarang pelacuran, ia juga menyimpan sejarah hitam, dan lantai serta dindingnya adalah kuburan hantu. Stephanie tidak ada duit, dia baru berpisah dengan bekas teman lelakinya, dan dia adalah orang asing di pekan itu. Stephanie terperangkap.

Novel ini dibahagikan mengikut hari dengan ketebalan 628 halaman. Hampir kesemua bab dan babak cerita bermain di dalam rumah, terutama sekali bilik di mana Stephanie dikurung apabila dia diperdayakan oleh tuan rumahnya. Di sinilah terletaknya kehebatan Nevill sebagai pengarang horor. Dia boleh mengawal emosi dan fokus kita hanya melalui deskripsi dan suasana di dalam sebuah bilik. Kita memang akan rasa terperangkap kerana Nevill telah mengurungkan kita dalam kata-katanya.

Satu babak yang sangat mengesankan untuk saya ialah ketika Stephanie dicampak ke dalam sebuah bilik yang gelap. Nevill terpaksa bergantung hampir sepenuhnya pada unsur bunyi dan sentuhan:

"She lost her balance in the darkness and tottered sideways until the flesh of her hip folded around a hard edge. Another cabinet. Her arms moved quickly, without instruction, to explore the sides and contents of this trap. When she touched a ridged stainless steel surface she understood she had reached a sink area. Leaning forward she searched for a kitchen window. Her fingers touched small glass items that moved and chinked together. A spice rack, or something like that. Then her hands discovered cold plaster: a wall beside a set of small shelves.

She shuffled sideways, away from the door, her fingertips retaining contact with the wall until the painted plaster became wood again. What felt like another sheet of wood. She ran her fingers up and down the edge of the board and found dimples that housed screws.

Below the counter edge that pressed her stomach was the sink. She touched metal taps, knocked a plastic bottle over. Shit."

Panjang lagi sebenarnya babak dalam gelap ini, tetapi kutipan di atas sudah membuktikan kepakaran Nevill. Selain merupakan antara novel rumah berhantu paling menakutkan saya pernah baca, No One Gets Out Alive mempunyai lukisan latar yang sangat hidup, malah jauh lebih hidup daripada majoriti novel-novel realistik yang anda akan temui dalam sejarah kesusasteraan dunia.

            

Comments

Hadi said…
Dah baca Apartment 16 dan The Ritual. Yang ni belum lagi. Tak faham kenapa The Ritual novel dia yang paling popular...

Popular Posts