Metanoia: Puisi Video Johanna Hedva



Saya sudah jarang menulis tentang puisi di blog ini . Sebab utamanya adalah saya tidak membaca puisi sebanyak mana saya membaca fiksyen. Pengetahuan saya tentang teater lagilah cetek kerana selain kurang menonton teater, saya juga menghadapi masalah nak mencari pementasan teater klasik atau moden di Malaysia. Beranikah saya bercakap tentang teater kalau saya tidak pernah menonton di depan mata pementasan drama Beckett atau Pinter atau Noordin Hassan? Memang tidak.  
 
Kekangan terbesar saya untuk membeli dan membaca buku puisi adalah kewangan. Buku puisi luar, terutama sekali buku puisi terjemahan, sangat mahal untuk sebuah naskhah yang sangat nipis. Kadang-kadang memang saya ada membeli buku John Ashbery atau Mark Strand. Tetapi kedua-dua orang penyair ini sudah boleh dikatakan tua dan mapan. Bacaan puisi Sufian Abas lebih jauh di depan dan saya selalu bertanya kepadanya tentang puisi terbaru.
 
Satu lagi halangan saya adalah masalah membaca puisi lirik dalam bahasa asing. Prosa hampir seratus peratus universal dalam menyampaikan maksud isinya. Sementara puisi seratus peratus memerlukan kesan kata-kata sebelum maksud isi boleh disampaikan. Malah maksud sebuah puisi tidak perlu difahami pun asalkan kata-katanya menyala-nyala bagai bara api di tangan pembaca (fikirkan Afrizal dan Ashbery). Saya jarang menikmati puisi lirik dalam bahasa Inggeris kerana walau sebagus manapun imejan atau penyusunan rima dalam puisi itu, nada dan nuansa bahasanya masih kedengaran asing di telinga saya.
 
Maka saya membuat suatu teori (untuk memujuk diri saya semata-mata): kita boleh belajar bentuk dan teknik daripada puisi luar, tetapi cara untuk menyusun kata-kata menjadi muzik hanya boleh dipelajari daripada puisi dalam bahasa sendiri.  
 
Namun dalam semua bidang seni selalu akan hadir karya berbentuk hibrid. Karya yang enggan terbang di dalam kumpulan dan mengikut laluan peta yang sedia ada. Dalam fikiran saya sudah nampak puisi-esei-drama-novel Susan Howe dan Anne Carson. Menyanyikan tema lebih penting dalam puisi dua orang penyair ini daripada menyanyikan kata-kata. Susan Howe, misalnya, boleh menggabungkan kritikan filem dan fotografi menjadi puisi (peminat filem Chris Marker boleh membaca zinenya berjudul Sorting Facts or Nineteen Ways of Looking at Marker).
 
Semangat Susan Howe saya turut temui baru-baru ini dalam puisi video Johanna Hedva  tentang tema metanoia. Dengan menolak ke tepi penyusunan kata-kata, puisi video ini mengutamakan penyusunan imej. Kehadiran penyair juga lebih dirasai dalam sebuah puisi video kerana dia sendiri yang akan membaca dan menyunting video tersebut.
 
Semakin ramai penulis muda kita yang ingin menjadi penyair. Saya tidak tahu apa mereka fikir: patah hati, mabuk cinta, atau sahaja nak kelihatan berbudaya dan trendy. Walaupun saya gembira melihat lebih banyak puisi ditulis di Malaysia, tetapi saya sudah naik jemu membaca puisi lirik. Saya sudah naik jemu membaca puisi yang memakai payung bulan juni ketika hujan.  
 
     

Metanoia from Johanna Hedva on Vimeo.

Comments

Popular Posts