Berjalan Ke Belakang Bersama Kawan


Saya jarang membaca kembali tulisan-tulisan  lama di blog ini. Seperti masuk ke dalam stor atau bilik di bawah tangga, saya takut kalau di bawah mana-mana tulisan lama itu ada hantu atau tulang manusia yang berserakan (antara dosa membuat kritikan terhadap karya orang lain). Malam ini berbeza. Hujan baru sahaja berhenti dan jalan masih basah. Cuaca pun terlalu sejuk untuk saya tidur. Nak sambung membaca Tanpinar atau Roberto Arlt? Esok sahajalah (agak melelahkan melayan imaginasi dan naratif penulis lama, walaupun beza hanya satu abad). Maka saya membuka blog ini dan mula berjalan berundur ke dalam ingatan-ingatan yang sudah lama tidak dikunjungi. 

Anehnya saya tidak menemui diri saya, tetapi kawan-kawan. 

Saya terjumpa reaksi Hafiz Jelir kepada catatan saya tentang buku Orham Pamuk Other Colors. Marah betul Hafiz masa itu dan agak lucu bagaimana saya dan Hafiz sekarang boleh dikira kawan (rakan seperjuangan?) berbanding musuh. Hafiz ada tanya beberapa soalan dan satu pun saya tidak jawab. Lebih baik begitu. Kadang-kadang kritikan tidak harus dibalas dengan kritikan. Api tidak harus dibalas dengan api (walaupun memang seronok membakar tulisan orang). Ada waktunya kritikan harus dibalas dengan persahabatan. 

Rasanya kalau reaksi Hafiz itu muncul beberapa tahun lebih awal, saya yakin saya akan membalas dengan kritikan yang keras dan emosi. Tetapi ternyata berlaku sebaliknya. Hafiz memberi reaksi ketika kepercayaan saya kepada kritikan sebagai senjata polemik sudah pudar. 

Hidup ini singkat dan dunia sentiasa mengecil. Kenapa kita nak tambahkan lagi api yang membakar hutan?

Pernah ada suatu masa saya sering menulis untuk Roslan Jomel. Ia bukan soal inspirasi, tetapi lebih kepada rasa hormat pada seorang abang, dan rasa terima kasih saya padanya kerana menjadi teman perbualan sastera di Restoran Bilal ketika kegilaan saya pada Murakami dan Carver memerlukan seorang kawan untuk berkongsi cerita. Umur dan pengalaman menulis membezakan saya dengannya. Roslan sudah nama besar ketika saya masih merangkak-rangkak nak menulis dan menerbitkan cerpen pertama. Sekarang lagilah. Dia bukan sahaja antara cerpenis terbaik generasinya, tetapi juga seorang selebriti Instagram, dan rambutnya pun semakin panjang seperti bintang rock metal. Harapa-harap selera Roslan pada teh tarik masih sama walau setinggi mana pun dia melompat dan menjeritkan suara seraknya. 

Antara tulisan saya buat untuk Roslan adalah ketika dia dan Ridhwan Saidi saling bercubit-cubitan (atau bertumbuk sebenarnya?) mengenai novel Amerika. Ternyata Roslan sangat tidak suka novel itu dan ternyata Ridhwan sangat tidak suka pada ketidak-sukaan Roslan itu. Saya teringat pada polemik yang pernah berlaku antara Rick Moody dan Dale Peck di Amerika. Dale dalam satu tulisan telah memanggil Rick sebagai "penulis paling teruk generasinya." Permusuhan antara Dale dan Rick diselesaikan dengan cara paling praktikal dan ideal apabila adanya dua orang penulis bercakaran: campak pie ke muka. 

     
Pertemuan saya dengan Eka Kurniawan di Jakarta tahun lepas mencetuskan tulisan tentang pencurian kata-kata dan Roberto Bolano. Hubungan antara Malaysia dan Indonesia selalu membingungkan saya. Malaysia membaca, dan sentiasa membaca, apa-apa yang Indonesia lahirkan. Dan kadang-kadang Malaysia terlebih membaca Indonesia sehingga Malaysia malu menjadi dirinya. Sementara Indonesia... pernahkah Indonesia membaca Malaysia? Mujur kejanggalan ini tidak berlaku antara saya dengan Eka. Dia adalah peminat cerpen Keris Mas dan ketika datang ke Malaysia buku yang dicarinya adalah Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis. Rasanya hanya saya dan Eka yang masih aktif menggunakan blog. Kawan-kawan lain sudah beralih ke dunia media sosial.

Tulisan untuk Aidil Khalid pun banyak. Tetapi itu sudah terlalu jauh kalau nak berjalan ke belakang. Hanya kesedihan dan kekecewaan yang menghuni tebing di jalan itu. Dan saya belum cukup sentimental untuk mengenang kawan-kawan yang bukan lagi kawan.  

Terbaru saya mengenali dua orang penulis muda: Johan Radzi dan Syafiq Ghazali. Masing-masing berbakat besar dan merupakan pencerita yang semula jadi (malah bakat bercerita mereka jauh lebih hebat daripada saya). Mungkin suatu hari nanti saya akan berjalan sekali lagi ke belakang di blog ini dan saya tertanya-tanya: adakah dua orang anak muda ini akan masih kekal sebagai kawan atau menjadi musuh yang saya harus bersalaman dan menghadiahkan senyuman sepuluh sen untuk, kononnya, meraikan hidup mereka sebagai penulis dan sasterawan?
   
      

Comments

Popular Posts