Novel Kesepuluh: Everything Passes



Sudah hujung tahun dan ada banyak buku serta cerpen yang harus dibaca dan dinilai semula. Selalunya karya yang bagus tidak perlu menunggu lama untuk memikat perhatian kita. Di halaman pertama lagi wajah sebuah karya kelihatan jelas.
 
Saya fikir saya tidak pernah membaca novel sebanyak saya baca tahun ini. Pengalamannya sangat kaya dan meninggalkan pelbagai kesan. Sisa-sisa pengalaman itu (kebangkitan nostalgia, memori zaman kanak-kanak, pengembangan bahasa minda, kelukaan dan kebahagiaan sebuah perhubungan) saya kutip semula dan saya jadikan kenderaan untuk saya harungi dalam esei ini dan esei-esei seterusnya.
 
Ada novel yang tidak meninggalkan langsung jejak langkah buat saya. Malah ia tidak ada kaitan pun dengan kualiti. Hanya masa; serta usia. Novel itu atau novel ini belum bersedia untuk saya mengikutinya dengan lebih jauh.
 
Sementara yang memang meninggalkan jejak langkah itu saya ikut dengan sabar kerana bukan kerja mudah untuk mengenali seorang manusia melalui pengucapan bahasa, apatah lagi mengenali kehidupan. Novel sebagai sebuah dunia, adalah perlanggaran antara benua. Kita tidak tahu di mana kita akan terpelanting hari ini dan esoknya.
 
Tahun ini adalah tahun ketiga saya membuat senarai novel terbaik, dan seperti dua tahun sebelum ini, senarai saya adalah senarai peribadi. Buku yang dipilih tidak semestinya diterbitkan pada tahun 2014. Ukuran saya mudah sahaja, secara kasar: ia mesti memberi kesan kuat ketika saya kali pertama membacanya dan ia harus mengiringi imaginasi dan emosi dalam tempoh sangat lama. Alasan kedua itu sangat penting kerana saya menulis sepenuh masa dan saya sangat memerlukan buku sebagai sumber idea dan teman bicara. Semakin penting sesebuah buku itu, semakin kerap perbicaraan saya dengan buku itu. Ibarat menghadiri sebuah kuliah atau perbualan kedai kopi yang sangat rancak.
 
Di sepanjang tahun (atau sepanjang hidup) perbualan kita dengan sebuah buku akan berubah-ubah. Ada hari kita akan melupakannya kerana kita sudah menemui teman baru. Ada hari kita kembali kepadanya dan menarik dia turun daripada rak kerana hanya dia boleh memahami emosi dan masalah kita pada waktu itu.
 
Saya akan perkenalkan di sini sepuluh buah novel yang banyak berbicara dengan saya sepanjang 2014. Saya akan mula dengan novel kesepuluh iaitu Everything Passes oleh Gabriel Josipovici.
 
* * *
 

Eksperimen. Beberapa hari ini saya banyak mendengar cerita daripada teman-teman yang sedang merangka karya terbaru mereka. Ada yang nak buat buku mengikut saiz sebuah katil; ada nak buat buku dengan hanya senarai blurb sebagai isi naratif. Sekali dengar kita akan kata idea mereka adalah idea eksperimental. Namun saya selalui meragui apa yang disebut sebagai eksperimental, malah saya percaya ia tidak wujud. Serigala dalam tabung uji yang boleh bertukar menjadi kura-kura adalah eksperimental. Tetapi karya adalah dahan daripada ranting genetik seorang penulis. Sebuah novel dalam bentuk senarai blurb mungkin kelihatan eksperimental di mata kita, tetapi buat si pengarang, itu adalah sebahagian daripada dirinya.

Karya tidak lahir secara kebetulan: sebaliknya ia mencipta kebetulan.

Menjadi pengkritik dan novelis pada masa sama adalah ibarat ingin menjadi jerung dan helang pada masa sama. Teori mencipta idea; teori tidak mencipta karya. Tetapi teori boleh mencipta bentuk di tangan seorang penulis yang memahami arkitek sebuah novel.  Mohd Affandi Hassan gagal sebagai novelis (dan mungkin lebih berjaya sebagai pengkritik) kerana dia buta arkitek. Gabriel Josipovici sebaliknya faham apa itu novel, bagaimana ia dibina, dan bagaimana dia boleh membina sebuah novel mengikut acuannya sendiri.

A room.
He stands at the window.
And a voice says: Everything passes. The
good and the bad. The joy and the sorrow.
Everything passes.

Itu adalah pembukaan kepada Everything Passes dan anda tidak akan jumpa pengenalan lebih minimalis daripada ini dalam sejarah penulisan novel. Aspek ruang jarang dikaitkan dengan novel kerana puisi lebih jelas bermain dengan ruang. Tetapi apakah teks kalau bukan ruang? Apakah kata kalau bukan ruang dalam minda?

Sebuah bilik berbicara; sebuah bilik adalah sebuah novel dalam imaginasi Josipovici. Kita hampir tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik ini. Ada orang masuk, ada orang keluar. Ada pintu dibuka, ada pintu ditutup. Suara seakan-akan berbicara dalam dinding.

Sangat nipis novel ini. Tetapi kesepiannya meninggalkan ruang bicara yang sangat luas dan tiada penghujung buat kita.

      

Comments

Popular Posts