Buku Di Atas Rak



Ada buku yang kekal; ada buku yang berubah tempat; dan ada buku baru yang menggantikan buku lama.

Buku-buku di atas rak adalah ibarat kanak-kanak di taman permainan: penghuninya berubah mengikut masa.

Koleksi lengkap tulisan Samuel Beckett adalah buku terakhir saya beli sebelum berhenti kerja. Duit pun tidak banyak masa itu, tetapi sangat puas hati untuk menempatkan semua tulisan Beckett di atas rak. Ada kemungkinan ia tidak akan diturunkan. Pengaruh Beckett (dan Roth yang muncul di kulit depan majalah Literary Review) sangat penting kepada saya. Mungkin apabila pengaruh itu hilang, maka bukunya akan turut hilang. Namun penulis manakah di abad ini yang telah menyelamatkan bahasa daripada rumah fikiran Beckett?

Gravity Rainbow adalah hadiah hari lahir daripada seorang editor yang gigih. Kenapa Pynchon sangat susah untuk dihabiskan? Mungkin saya belum cukup gila untuk melayan paronia Pynchon dan DeLillo. 

Infinite Jest: (.........)

Buku puisi dari Amerika selalunya jauh lebih mahal daripada novel. Jadi apabila dapat beli (jujurnya, sudah dua tahun saya tidak membeli buku puisi), ia akan disimpan dan dijaga ibarat tulang gergasi gajah mammoth yang diburu oleh moyang purba kita. Buku David Lehman Great American Prose Poems adalah antara tulang itu.

Ulysses: rumah api yang dekat tetapi sentiasa jauh dan jauh apabila kita mendekatinya.

Lydia Davis: gula-gula getah saya apabila bosan.

Teju Cole Open City: Lebih suka berjalan dengan orang tua daripada orang muda sebenarnya. Sebab itu ia belum habis dibaca. Dan sebab itu juga Dublinesque telah habis dibaca dan masih diulang-ulang baca. 

Cerpen Pilihan Kompas: Kenapa ya ada di situ?

Miss Herbert: Buku kritikan paling hebat saya pernah baca. Serius!

Adakah Ridhwan Saidi Chuck Palahniuk kita? Sesiapa yang meraguinya mungkin belum membaca bahagian ini daripada novel terbaru Ridhwan Babyrina:

"Dalam mimpi tu aku lihat diri aku masuk ke sebuah apartment gelap. Aku sedar ia kombinasi dari lokasi-lokasi pembunuhan yang telah aku lalui. Sebuah figura bayang melintas suluhan lampu picit aku. Aku suluh entiti itu yang merangkak pada meja, dinding, lantai, dan siling. Ia bergerak pantas hingga bawa aku masuk bilik tidur utama, lalu ke bilik air. Di hujung bilik air gelita itu terdapat sebuah tab mandian. Air melimpah perlahan. Sebelah kaki tergantung keluar dari tab tu. Seseorang sedang berbaring di dalam. Bahagian kepala dilindungi tirai. Aku mendekati tab seraya menyuluh kaki kaku itu. Langkah aku terhenti kelihatan tangan menyelak langsir itu. Gadis itu Babyrina."

Sudah lama tidak membaca tulisan prosa di Malaysia yang sebagus tulisan ini.



Comments

Popular Posts