T. Alias Taib: sonia


sonia
Oleh T. Alias Taib

hidup adalah layar wayang gambar
sebahagiannya penonton
sebahagian lagi pelakon.
dengan sedikit pengetahuan,
pengalaman dan pembacaan,
serta sering bangun-jatuh
berkejaran dengan kehidupan;
dia memilih menjadi pelakon.

sonia pelakon pintar di layar hidup
pemain seribu watak
juga pengatur seribu gerak.
hidup yang keras di kota
 mengasuhnya seni menggubah watak
juga seni mengubah gerak.
di kota ini sonia memakai topeng
sambil bergerak memainkan wataknya.

wayang gambar adalah sonia
yang bergerak dari babak ke babak.

2001

D. H. Lawrence kata kita patut meragui pengarang dan hanya percaya pada karyanya. Tetapi Lawrence ialah pembaca yang malas. Kita memang mengambil tahu tentang pengarang. Seperti mana kita mempertimbangkan sesuatu karya, seperti itu jugalah kita patut mempertimbangkan penulisnya. Tentang T. Alias Taib, saya belum sampai ke soal pertimbangan, tetapi ingin terlebih dahulu mengenali lelaki berwajah manis ini dengan lebih dekat. Entah kenapa, setiap kali saya menatap potret T. Alias Taib, mata saya akan melekat pada bibirnya: seolah-olah ada sesuatu yang perlu diperhatikan, atau mungkin didengar, pada bahagian yang membangunkan kata-kata suaranya. Bibir itu ialah bibir yang tersenyum: bibir yang mungkin menyimpan kehampaan dan kekerasan terhadap tamparan hidup. Rasanya saya akan terus melihat bibir itu seolah-olah semua puisinya melimpah turun daripada satu tempat; iaitu tempat yang mengucapkan suara dan sepi. 
  

Comments

Popular Posts