Interogasi Ke Atas Interogasi

Padgett Powell

1. Apakah soalan pertama untuk buku yang menghimpunkan soalan di setiap halamannya?

2. Jika awak menemui gula-gula getah Juicy Fruit yang belum dibuka di tepi jalan, adakah awak akan mengunyahnya? Adakah awak bersembang dengan tupai? Adakah awak suka bertengkar dengan ghairah bagi sesuatu jawatan atau kesudahan atau hasil padahal awak sendiri menentangnya? Adakah awak melekatkan setem atau sampul dengan lidah atau sekadar membasahkannya secara tidak langsung? (Dari halaman 147.)

3. Encik Padgett Powell (PP), patutkah kita membuat interogasi terhadap soalan-soalan interogasi anda? Dengar tak soalan saya? Atau saya yang patut dengar soalan anda? Boleh tak mengulanginya? Sekejap, ini interogasi saya atau anda? Siapa yang bersoal dan siapa yang bersoal selepas itu apabila soalannya menanyakan (atau mentafsirkan) semula soalan tadi?

4. Betulkah anda telah mati selepas semua soalan di dalam The Interrogative Mood ditanyakan?

5. Encik PP, pernah tak anda terfikir, atau membayangkan, novel anda (oh, betulkah ia sebuah novel?) dijual di dalam mesin bertoken? Atau dibaca sebagai manual latihan hidup oleh pasukan pengakap remaja? Atau dijadikan bahan bacaan wajib buat semua angkasawan yang dihantar ke bulan?

6. Encik PP, soalan manakah anda ingin James Joyce membacanya? 

7. Encik PP, soalan manakah yang menjadi soalan pertama moyang kita ketika mereka membuat interogasi di dalam gua?

8. Encik PP, soalan manakah yang akan dijawab oleh Tuhan?

9. Awak lebih rela dipukul dengan kayu atau rantai? (Dari halaman 100.)

10. Saya hairan Encik PP: kenapa sebuah novel ingin menanyakan saya soalan sebegini? kenapa mesti saya memberikan jawapan? kenapa mesti saya memilih antara "kayu" atau "rantai"? Dan kalau saya menggantikan "kayu" dengan "pedang samurai" dan "rantai" dengan "tombak," adakah ia mengubah makna kalimat tersebut? Tetapi mestikah sesuatu soalan mempunyai makna? Mestikah sebuah novel menyediakan jawapan kepada setiap persoalan di dalamnya?

11. Encik PP: Kubrick atau Hitchcock? Nike atau Adidas? Milan AC atau Milan Inter? Korea Selatan atau Jepun? Osho atau Hegel? Sonic atau Mario? The Beatles atau Hujan?

12. Encik PP: bagaimana kalau saya tidak ada soalan?

13. Awak tahu tak, ketika seekor lembu disembelih kita ingin ia berada dalam keadaan pengsan, bukan mati, bermula dari waktu kita angkat sebelah kakinya dengan tali (kita akan cuba mengelak tiga kakinya yang lain) dan heret lembu itu ke tepi longkang dan kerat urat merih dan karotid di lehernya secara menegak, lalu memuntahkan darah dengan banyak, iaitu ia sedia keluar daripada tubuh lembu itu dan sentiasa dipam keluar daripada tubuh lembu itu, dan ia juga sebab kenapa kita ingin ia berada dalam keadaan pengsan dan bukan mati, kerana ketika darah mengalir keluar tanpa henti ia akan menjadi lali, jantungnya akan terus berdengup, ototnya akan terus menegang, kakinya menendang-nendang buas, dan semua itu penting bagi memastikan darah keluar sehingga kering, dan walaupun selepas titisan terakhir telah tumpah ke bumi, dan kepalanya diletakkan di atas rak bagi kajian patologi, urat wajahnya akan bergerak-gerak seolah ada cacing besar sedang bersarang di situ? (Dari halaman 128.)

14. Encik PP, saya mesti tanya soalan ini, dan saya harap ia adalah soalan yang bakal mencetuskan lebih banyak soalan daripada anda: ketika menulis novel ini, adakah anda sedang berlari di Padang Pasir Atacama, dan memandang tepat ke arah matahari, dan tidak mengambil tahu tentang urat kebas di kedua-dua belah paha, tentang perubahan warna di angkasa, tentang tulang-tulang mangsa kekejaman Pinochet di dalam tanah, tentang pasport yang sudah luput, dan tentang kubur anda akan berhenti bersama soalan terakhir anda?

15: Baiklah Encik PP: sekarang, boleh saya tanya soalan seterusnya?

     
 

Comments

Popular Posts