Tentang Penulisan Roslan Jomel & Colm Toibin

Novel Colm Toibin tentang Henry James
 



Sahabat baik saya Roslan Jomel ialah antara penulis paling prolifik yang saya kenal (sejujurnya saya tidak bergaul sangat dengan penulis): boleh kata hampir setiap kali kami berbual dia akan ceritakan cerpen terbaru yang sedang ditulis - dan saya selalu membayangkan kaca matanya peluh berkabus menyusun kalimat menjadi naratif paling menghiburkan - dan idea Roslan boleh datang dari mana-mana saja, dan kerap kalinya ia datang dari tempat yang kita tidak sangka, dan seingat saya, beberapa bulan lalu peti sejuk di rumah Roslan telah rosak, dan Abracadabra! datang idea untuk sebuah cerpen, dan ini tidak menghairankan kepada sesiapa yang mengenali tajuk-tajuk gila cerpen Roslan yang, kita boleh bayangkan, datang dari idea yang sama gila pengalamannya, dan ia seolah-olah, untuk kembali ke imej peti sejuk tadi, setiap kali Roslan membuka peti sejuk untuk mencari idea, akan ada saja daging, ikan, jeruk, petai, durian, dan epal untuk dijamah sebelum dia kembali dan meneruskan mana-mana cerpen yang tertangguh. Faulkner pernah kata dalam usia kepengarangan setiap penulis akan datang satu waktu yang dia menjadi "panas" dan mahu dan tidak mahu akan menulis dan menulis saja kerana semua bahan dan pengalaman dan teknik yang diperlukan penulis tersebut sudah berada dalam larutan paling terbaik. Tunggu untuk dinyalakan saja. Jadi menonton video wawancara Colm Toibin menceritakan proses menulis novel saya turut membayangkan diri saya (dan mungkin juga Roslan) pada masa depan di hujung perjalanan penulisan ini. Adakah ia akan, bak kata Toibin pada dirinya, "worn me out"?

Ternyata masih terlalu awal dan terlalu naif untuk saya bertanya apatah lagi menjawab soalan ini.
  

Comments

Popular Posts