Catatan Kepada David Foster Wallace (II)

Contengan David Foster Wallace pada novel Don DeLelillo


[Dear David,

Saya tahu kamu tidak mengembara... Dan saya tidak tahu adakah kamu  pernah mengembara keluar daripada Amerika... Tapi percaya cakap saya, ia adalah pengalaman yang hebat... Ia lebih hebat daripada menulis novel saya fikir, kerana, di jalanan, di tempat asing, di rumah atau hotel dikelilingi wajah dan suara yang kita tidak kenal, kita menjadi bebas dan pada masa sama ia memerangkapkan kita dalam kebebasan tersebut.

Tapi, maaf David, saya tidak ingin bosankan kamu dengan cerita pengembaraan saya. Bagaimana dengan Pale King? Anjing kamu sihat?

Saya menemui Jonathan beberapa hari lepas. Dia menunjukkan kepada saya buku Don DeLelillo, Ratner's Star yang ada contengan kamu di dalamnya. Saya belum baca (Jonathan berbaik hati untuk benarkan saya bawanya pulang). Saya tidak pernah membaca Don. Tapi saya akan membacanya kerana saya suka dengan contengan kamu dalam novel itu. Ia bagaikan ada cerita tersendiri dengan novel Don sebagai background.

David, apa pendapat kamu tentang Mallarme? Kamu suka puisinya? Mallarme kata tubuh kita adalah objek menyedihkan dan dia telah membaca semua buku (ya, David, semua buku!). Cara Mallarme sebut tentang semua buku itu seolah-olah dia telah pergi ke setiap tempat dan lubang pelacur di atas dunia ini.... Kemudian dia kata... dan ini bahagian saya suka David... Mallarme kata kita mesti mengembara. Tapi ke mana David? Itu saya fikir... Dan masih berfikir ketika menuliskan surat ini kepada kamu.

Selesai seks... selesai membaca.... yang tinggal hanya untuk mengembara... tapi kemudian saya nampak contengan buku kamu... saya nampak minda kamu David... minda yang tidak pernah mengembara... minda seorang Amerika... minda yang meracuni mindanya sendiri.... minda yang ingin lari ke dalam sastera... minda yang dibebani kebosanan.... lalu David.... cuba fikir... siapakah antara kita yang telah mengembara sebenarnya... kamu atau saya?

Mungkin bukan kita David. Tapi hanya Mallarme. Hanya Mallarme dan puisinya.] 


Comments

Popular Posts