Cerita Cinta Sepasang Bateri AA

Penulis dan pemikir bateri AA




Belum juga ditukarkan lagi bateri AA ini. Nak ubah siaran TV makin susah. Mujur saya bukan selalu ada di rumah untuk menontonnya. Lagipun, menonton hanya alternatif kepada pengembaraan yang Baudelaire sebut dalam puisinya sebagai jalan menuju ke "padang pasir kebosanan."


Kita menjadi rungsing dan gelisah dan muram dan barangkali marah juga apabila bateri alat kawalan jauh kita sudah tamat usianya; atau barangkali, secara hakikatnya, dengan tamatnya usia sepasang bateri AA, ada sebahagian daripada diri kita yang menjadi lesu dan lemah seolah-olah hati dan pemikiran kita adalah sepasang bateri AA yang perlu sentiasa digantikan mengikut waktunya; atau barangkali, bagai sepasang kekasih, kita dan dua bateri AA ini sudah menjadi entiti yang sama dan saling bergantung kewujudannya dan saling melengkapi untuk membolehkan kita berfungsi dan hidup. 

Kalau Rilke dapat hidup sampai wujudnya bateri AA, barangkali dia akan menulis puisi berdasarkan sepasang bateri AA yang tergeletak di atas meja tulisnya; barangkali bait-bait dan kalimat-kalimatnya akan bermula dengan deskripsi fizikal sebelum kedua-dua bateri AA itu membukakan kepadanya pintu ke alam kanak-kanak dan Rilke dapat kembali dalam dakapan ibunya: semuanya hanya kerana sepasang bateri AA. Ini tidak menghairankan kerana Rilke pernah menulis puisi tentang tangannya seolah-olah dalam kebosanan penyair terhadap alam, kata-kata di dalam puisi mereka meloncat keluar dan mencari objek terdekat iaitu tubuh penyair itu sendiri. Atau mungkin objek yang berada di atas meja: seperti sepasang bateri AA. 

Kalau Kafka dapat hidup sampai wujudnya bateri AA, barangkali dia akan menulis parable berdasarkan sepasang bateri AA yang dia lihat meronta-ronta dalam sangkar mimpinya. Dan barangkali apabila dia terjaga, dia akan bingkas ke meja tulisnya dan terus menulis cerita tentang sepasang bateri AA dalam satu kali duduk seperti mana dia pernah menyiapkan cerita berjudul The Judgement. Kita sudah boleh nampak seorang peguam atau penjual insurans berbangsa Yahudi bangun pada suatu pagi dan mendapati tubuhnya sudah menjadi silinder besi berwarna hitam di badan dan perang di kepala dengan simbol + dan - masing-masing terukir di kedua-dua belah telinganya; dan kita boleh membayangkan konflik Oedipus yang berlaku antara bateri tersebut dengan ayah dan emaknya yang berada di luar bilik; dan dia akan diasingkan oleh keluarganya kerana ternyata dia ialah bateri gergasi yang tidak boleh memberikan manfaat kepada kewangan dan kebahagiaan masa depan mereka; dia akan dibiarkan mereput menjadi bahan kimia berbahaya di bawah kegelapan ranjang tanpa dia dapat menebus kembali maruahnya sebagai seorang manusia. 

Kalau penyair Yunani bernama Archilochus masih hidup sampai wujudnya bateri AA, barangkali dia akan membuat penambahan kepada kalimat terkenalnya, iaitu "seekor musang mengetahui banyak benda sementara seekor landak hanya tahu satu benda yang besar", dan mengubahnya menjadi "seekor musang mengetahui banyak benda dan seekor landak hanya tahu satu benda yang besar sementara sepasang bateri AA memilih untuk tidak mengetahui apa-apa pun." Kenapa ia perlukan ilmu besar atau kecil? Kewujudannya hanya tertakluk kepada hubungannya dengan manusia. Kalau ia dimasukkan ke dalam alat kawalan jauh, maka di situlah makna hidupnya; dan kalau ia dimasukkan ke dalam mesin pengering rambut, maka di situlah pula makna hidupnya. Secara teorinya, sepasang bateri AA sesuai menjadi otak dan sumber tenaga kepada tubuh manusia moden. Ia membebaskan manusia daripada tubuhnya untuk bersatu dengan sebuah kota dan objek-objek di kota tersebut seperti yang berlaku dalam novel Ulysses

Sebenarnya kalimat terkenal Archilochus ini sudah pernah dikembangkan. Ia dilakukan oleh seorang ahli falsafah bernama Isaiah Berlin. Dia membahagikan penulis dan pemikir kepada dua jenis: pertama mereka yang berada dalam kumpulan musang, sekumpulan individu yang mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan idea mereka tidak boleh dicernakan menjadi satu gagasan mutlak (Herodotus, Aristotle, Shakespeare, Montaigne, Pushkin, dan Balzac); jenis kedua ialah mereka yang berada dalam kumpulan landak, sekumpulan individu yang memandang alam melalui suatu gagasan yang jelas (Plato, Dante, Pascal, Hegel, Ibsen, Dostoevsky, dan Proust). Berlin memberikan pengecualian kepada Tolstoy yang menurutnya mempunyai sifat musang dan landak secara serentak dalam dirinya. 

Idea Berlin memang menarik. Tetapi saya akan lebih suka kalau dia sertakan kategori untuk sepasang bateri AA: sekumpulan individu yang menyerah dan membina idea mereka berdasarkan idea yang sudah dihasilkan oleh musang dan landak itu. Di mana dia diletakkan, di situlah dia membina ideanya. Kalau mereka ini adalah penulis, maka mereka adalah penulis yang menyerahkan diri sepenuhnya pada sastera. Saya sudah sebut Rilke dan Kafka. Barangkali Borges dan Bolano juga adalah calon sesuai. Dan barangkali di masa depan akan lahir lebih ramai penulis-penulis bateri AA. 

Itupun kalau di masa itu, manusia masih memerlukan bateri AA sebagai sumber tenaga dan sumber imaginasi.
      

Comments

Popular Posts