Menjawab Persoalan Tentang Milan Kundera


Baru-baru ini seorang penulis menanyakan kepada saya satu soalan, yang saya kira, menarik, dan membuat saya berfikir panjang, iaitu tentang hubungan Milan Kundera dengan Cervantes dan Rabelais. Saya kongsikan dengan anda jawapan balas saya kepada penulis itu.


Salam, saudara Azriq. Nak tanya sikit, apa istimewanya Rabelais dan Cervantes kepada Kundera?


Salam Saudara,

Untuk memahami Kundera, kita terlebih dahulu kena lihat, walaupun ia bukan kewajipan, tetapi saya fikir cara terbaik untuk kenalinya, bentuk novel yang Kundera gemari, dan, pilih untuk jadikan sebagai struktur penulisannya. Dan bentuk itu ialah Laurence Sterne; bentuk itu ialah Diderot; bentuk itu ialah Hermann Broch; bentuk itu ialah Thomas Mann.

Dan sudah tentu Cervantes dan Rabelais.

Kenapa bentuk ini? Kenapa penulis-penulis ini? Kenapa bukan penulis lain yang lebih besar namanya, walaupun, di mata saya, Cervantes itu saja nama yang sudah cukup besar? Kenapa bukan Dickens? Kenapa bukan Balzac? Atau Hemingway? Jawapan pertamanya, dan ini berkaitan dengan minat, serta suara hati Kundera, ialah muzik. Bagi Kundera penulisan itu - dengan rima, pemilihan diksi, gaya retorik, dan penyusunan naratif - tidak terpisah dengan muzik. Cuba saudara bayangkan minda kita sebagai sebuah dewan orkestra, dan kemudian, cuba saudara bayangkan, alat-alat muzik yang digunakan - atau ingatan yang digunakan - dan kemudian datang muzik itu sendiri, dan bagaimana ia harus memukau, menggoda, dan memikat telinga perasaan kita seolah-olah setiap baris muzik itu ialah bongkah ais yang datang melanggar kita dari setiap penjuru. Ini ialah kesan, atau estetika, atau tumbuhan perasaan, yang penulis-penulis yang saya telah sebutkan - termasuk Kundera - inginkan dalam penulisan dan novel mereka. Minda. Muzik. Sudahkah saudara melihat cara Kundera membahagikan setiap bab dalam novel terkenalnya The Unbearable Lightness of Being? Bukankah ia menggabungkan pelbagai laras bahasa dan gaya penulisan? Dan bagaimana dengan Sterne - antara novelis paling penting dan berpengaruh dalam sejarah tradisi novel - dan penyusunan naratif dan pembinaan kata-katanya yang membuat kita rasa seperti sedang berenang dalam mesin basuh kuasa tinggi?

Minat novelis pada muzik dan eksperimen naratif, seperti yang saudara akan temui dalam novel-novel abad kelapan belas, berhenti, sekejap, pada abad kesembilan belas. Ia berakhir dengan kemunculan realisme. Sebetulnya saya tidak suka menyebut realisme sebagai genre, kerana, apabila kita meniliti semua novel, dan juga puisi, yang telah hadir ke dalam sejarah sastera, kita akan mendapati, tidak ada karya yang tidak cuba untuk mencapai suatu matlamat yang kita boleh sebut sebagai realistik. Namun, dalam kita membicarakan Kundera, bagi memudahkan kita melihat perbezaan dua abad itu, kita gunakan sahaja realisme sebagai sebuah genre. Saya tidak ada ruang yang luas di sini bagi menceritakan kepada saudara bagaimana realisme itu muncul di Eropah - ia memerlukan satu esei khas untuk topik itu. Secara ringkas, saya boleh rumuskan, dan ini ialah antara ciri terpentingnya, novel pada abad kesembilan belas itu ditulis untuk kepentingan sosial. Balzac. Dickens. Tolstoy. Zola. Ini ialah nama-namanya. Antara rungutan Kundera pada novelis-novelis ini ialah bentuk novel mereka itu disusun bagai sebuah drama. Ia sangat jelas dalam novel-novel Dostoyevsky. Bab-bab yang dibina Dostoyevsky dalam novelnya ialah seperti babak-babak dalam sebuah drama, dan itu kita belum ambil kira watak-wataknya yang sangat dramatik dan histeria minda mereka. Bila saya sebut drama, itu bukan bermakna novel Cervantes dan Rabelais - kalau kita boleh panggil karya mereka novel - itu tidak dramatik; Don Quixote itu, dari mula hingga hujung, sangat dramatik; tetapi membaca Cervantes kita tidak rasa seperti kita sedang masuk ke dalam sebuah teater kerana drama Cervantes itu bukan drama teater - drama Cervantes itu ialah drama kehidupan.

Drama minda seorang pengarang.

Dan ini membawa kita kepada komedi. Bagi Kundera, sejarah novel itu ialah sejarah komedi. Tujuan fiksyen, selain menipu, dan menghiburkan kita, ia harus membuat kita rasa seolah-olah realiti kita telah diterbalikkan. Bagai model kapal layar dalam sebuah botol kaca. Kemuncak kepada penyimpangan realiti ini ialah ironi dan komedi. Surrealisme itu terlalu mudah dan itu juga antara sebab ia tidak bertahan dan menjadi sebuah genre yang kukuh. Ia melakukan penyimpangan tanpa membawa komedi di sayapnya. Dalam Cervantes dan Rabelais, kita mendapat kedua-duanya. Naratif mereka itu bebas - ia boleh terbang ke mana-mana yang narator mereka ingin bawa kita, dan tidak ada satu saat yang kita rasa dunia mereka itu tidak masuk akal atau jauh dari garapan realiti semasa. Kenapa ini boleh berlaku? Kenapa dua orang novelis kuno ini, dengan bentuk penulisan yang sangat tidak realistik, boleh mencipta kepada kita sebuah dunia yang menyakinkan dan benar - dunia yang realistik? Ini kerana komedi mereka membuka persoalan yang tidak pernah dibuka oleh penulis sebelum dan selepas mereka. Mereka membuka persoalan realiti, seni, dan kata-kata dalam minda manusia.

Terima kasih saudara kerana menanyakan soalan yang menarik ini, saya harap, dengan penjelasan yang agak panjang ini, tetapi belum cukup, saya rasa, sudah dapat menjawab persoalan anda tentang Kundera dan seni penulisan novelnya.

Wan Nor Azriq.


Comments

Popular Posts