Anekdot Putera Merak Dari Dublin


Di sebuah bandar terdapat seorang lelaki bernama Encik Munsyi yang setiap hari akan duduk di platform stesen keretapi. Dia menunggu tanpa penat dan dengan setianya kedatangan keretapi yang tidak pernah tiba.

Teman perbualan Encik Munsyi di stesen itu ialah Encik Hogarth. Perbualan mereka berlaku hanya beberapa jam setiap hari memandangkan Hogarth ini sentiasa naik turun keretapi antara stesen. Tetapi dalam satu hari Encik Hogarth tidak pernah sampai ke stesen yang dia asalnya ingin pergi mengikut destinasi tiketnya.

Encik Munsyi hairan melihat tabiat Encik Hogarth, lalu pada suatu hari, ketika mereka duduk berbual di kedai kopi stesen itu, dia mula bertanya.

Munsyi: Saya hairan melihat awak Hogarth. Setiap hari naik keretapi, tetapi apabila sudah hendak sampai ke suatu stesen, awak akan turun dan menukar haluan. Tidakkah awak rasa hidup awak kosong dan tidak ada makna tanpa suatu destinasi yang jelas?

Hogarth: Betul, hidup ini perlu ada destinasi. Dan - Sekejap, apa awak buat tu?

Munsyi: Apa? (Munsyi hairan sambil meletakkan cawan kopi yang baru dihirupnya).

Hogarth: Itu. Kaki awak.

Munsyi: Saya tengah silangkan kaki.

Hogarth: Kenapa?

Munsyi: Kenapa saya silangkan kaki? (Munsyi kini membetulkan tali leher dan kembali menghirup kopi dan kemudian membetulkan tali leher sekali lagi).

Hogarth: Kenapa awak silangkan kaki?

Munsyi: Itulah hukum yang saya belajar.

Hogarth: Hukum.

Munsyi: Ya hukum perbincangan ilmiah. Salah seorang watak dalam perbincangan itu mesti silangkan kaki sementara seorang lagi bercakap. Dan dia mesti menceritakan rupa paras orang di depannya.

Hogarth: Menarik. Dan aneh. Saya tidak tahu apa itu hukum. Tetapi saya ingin tahu cara awak akan ceritakan rupa paras saya.

Munsyi: Mata Hogarth terkebil-kebil dan bibirnya kering ketika bercakap.

Hogarth: Itu sahaja? Bagaimana dengan bahagian lain? Atau awak sebenarnya buta Munsyi?

Munsyi: Itulah hukum yang saya belajar. Ceritakan mata dan bibir.

Hogarth: Aneh sekali hukum awak belajar. Awak menjelaskannya seolah-olah kita ini hanya angka dalam suatu persamaan matematik.

Munsyi: Itulah hukumnya. Lebih mudah dan jelas untuk semua orang kalau sesuatu hukum itu dipatuhi. (Munsyi menghirup kopi dan membetulkan tali leher). Boleh awak sambung apa awak yang ingin huraikan tadi?

Hogarth: Baik. Betul, hidup ini perlu ada destinasi. Tetapi, cuba awak beritahu saya Munsyi, kenapa mesti destinasi itu datang dari satu arah sahaja? Bukankah alam itu sendiri menyediakan banyak jalan kepada pengembara yang mencari rahsia keagungannya? Namun sebelum alam dapat menunjukkan dia jalan itu, sebelum dia dapat berbicara dengan alam, dia mesti terlebih dahulu berbicara dengan dirinya. Dan adalah melalui bahasa setiap perbicaraan itu diungkapkan menjadi suatu metafora.

Munsyi: Tetapi - izinkan saya untuk mencelah - awak jangan lupa bahawa bahasa seorang individu itu gunakan hanya dipinjam daripada masyarakat. Kita semua adalah pengguna bank yang sama iaitu bahasa masyarakat.

Hogarth: Bahasa yang awak katakan bahasa masyarakat itu hanya ibarat duit kertas yang diedarkan dari satu tangan ke satu tangan. Matlamat akhirnya ialah materialistik. Ia boleh ditukar beli tanpa menjejaskan individu yang menggunakannya. Sebab itu sastera di negara kita susah untuk berkembang kerana dari awal lagi ia menyerahkan peribadinya kepada kehendak masyarakat. Ia tidak pernah sempat dibiarkan dan diberikan kebebasan untuk membentuk peribadinya. Kalau adapun, ia adalah peribadi yang lemah. Ia adalah peribadi tanpa budaya dan imaginasi. Dan lebih teruk, ia adalah peribadi yang sentiasa tertipu dengan bayangnya sendiri.

Munsyi: Nampaknya saya tidak boleh bersetuju dengan pandangan awak itu kerana awak membuka ruang yang terlalu bebas untuk seorang individu. Kalau semua perkara dalam seni, seperti yang awak inginkan, diserahkan pada individu, atau dalam kata lain penilaian subjektif, di manakah kebenaran mutlak yang boleh menjadi kayu ukur buat semua manusia?

Hogarth: Munsyi - Di dunia ini tidak ada seni yang bersifat objektif. Semua seni adalah bersifat autobiografi. Semua seni adalah dadu yang melantun sendiri di atas mejanya. Shakespeare tidak dinafikan ialah penulis paling objektif kerana kita tidak menemui langsung Shakespeare dalam watak-wataknya. Bolehkah awak mencari persamaan antara Hamlet dan Lear? Atau antara Macbeth dan Falstaff? Dan bolehkah ditemui persamaan watak-watak itu dengan Shakespeare sendiri? Untuk sampai ke tahap objektif yang sebegini, Shakespeare sudah tentu memerlukan bahasa yang paling dekat dengan dirinya. Bahasa yang paling subjektif. Bahasa ini - bahasa yang sangat suci dan jernih ini - tidak boleh datang dari bank yang awak maksudkan tadi. Bahasa ini tidak boleh datang dari kamus atau mana-mana kitab agama. Bahasa ini hanya boleh datang dari minda seorang seniman. Kalau awak lihat betul-betul ke dalam sejarah, awak akan mendapati yang ia tidak pernah wujud. Di setiap zaman naratif pemikiran manusia ditulis semula oleh seorang seniman. Lihat sahaja perbezaan naratif pemikiran di zaman Usman Awang dengan generasi sekarang. Walaupun ia tidaklah ada beza sangat kerana pemikiran tidak akan berubah tanpa terlebih dahulu adanya penyimpangan dari bahasa lama kepada bahasa baru. Atau dari bahasa klise ke bahasa individu. Tetapi pada masa sama saya tidak boleh membayangkan wujudnya seorang Roslan Jomel atau Saifullizan Tahir di zaman Usman Awang tanpa adanya Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan sebagai jambatan penghubung. Sebenarnya bukanlah wajib untuk ada jambatan ini bagi melahirkan seorang Roslan Jomel atau seorang Saifullizan Tahir. Dalam sebuah negara, hanya manusia masyarakat yang memerlukan jambatan untuk bergerak dari satu kutub pemikiran ke kutub pemikiran yang lain. Itu ialah sifat semulajadi masyarakat. Ia dicipta untuk memberikan satu metafora buat manusia berfikir.

Munsyi: Hah, tapi awak lupa sesuatu di situ. Bukan semua manusia boleh menulis puisi. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya. Dan segala kelebihan itu sendiri adalah anugerah daripada Tuhan.

Hogarth: Ya, bukan semua manusia boleh menulis puisi, tetapi semua manusia dilahirkan sebagai penyair. Ia adalah sisi dalam diri setiap manusia yang membolehkan ia menjadi inspirasi pada manusia yang lain. Kita berfikir melalui metafora. Dan melalui metafora ini melimpah keluar segala isi dunia ini. Kalau tidak mana mungkin metafora Chairil Anwar dan Amir Hamzah boleh sampai ke dalam hati setiap individu yang membaca puisi mereka di negara ini? Kalau tidak mana mungkin Shahnon Ahmad boleh mengembangkan Banggul Derdapnya itu menjadi latar imaginasi yang kompleks tanpa terlebih dahulu dilukai oleh metafora ciptaan Faulkner dan Marquez? Secara luaran, ketika dalam perbualan, atau ketika berdebat, atau semasa bergosip, adalah tidak adil untuk kita menurunkan hukuman pada seorang seniman. Itu bukan cara kita mengukur nilai seorang manusia. Hal makan minum, bekerja, berdiskusi, menyanyi, bersolat ialah tabiat yang semua manusia lakukan. Dan tidak ada penyakit yang lebih teruk di dunia ini dari tabiat yang konsisten. Ia memerangkap kita dalam rutin yang berterusan kerana kita tidak pernah membuka diri kita untuk membenarkan kehidupan membuat kerjanya. Akibatnya kita akan mati dalam tubuh kita sendiri. Kafka sudah mengajar kita akan hal ini. Manusia mesti keluar dari dirinya untuk menjadi manusia yang sempurna. Untuk itu pintu-pintu rohnya mesti terbuka pada kehadiran alam. Di sinilah akhirnya tempat kita menilai kebijaksanaan seorang manusia. Keupayaan rohnya untuk berdiri di atas alam.

Munsyi: Mana mungkin manusia boleh berdiri di atas alam sekiranya dia juga sebahagian dari alam ini.

Hogarth: Kenapa tidak boleh? Seni sentiasa berada di depan kehidupan. Bukan di belakang. Atau mana-mana sudut. Ia bebas untuk hadir pada kita mengikut kehendaknya. Sebab itu pengaruh muzik begitu kuat pada naratif minda kita. Ia hadir secara menyeluruh untuk memetik setiap nota perasaan dalam ingatan kita. Dalam puisi yang terbaik kehadiran ini sangat kuat kerana setiap kata-kata telah berada pada kedudukan terbaik untuk mengalunkan rentak emosi dan gelombang pemikiran seorang penyair.

Munsyi: Tetapi pembaca ada kuasa untuk berhenti membaca dan menolak sesuatu karya kalau ia bertentangan dengan prinsipnya. Misalnya Beckett. Saya tidak boleh membacanya kerana dia membawa saya ke arah sisi kehidupan yang pesimistik. Mengapa saya patut buang masa? Faisal Tehrani boleh memberikan saya kepuasan pembacaan yang lebih berbaloi.

Hogarth: Awak habis membaca tak Beckett?

Musnyi: Tak. Buang masa. Semuanya menyesatkan sahaja. Saya hanya perlu membaca satu bab untuk tahu sebuah karya itu menyesatkan atau tidak.

Hogarth: (Dia tersenyum) Begitu tegasnya pendirian awak. Rasanya dengan pembacaan begitu tidak ada seorang penulis pun yang akan lepas kayu ukur awak tanpa terlebih dahulu dirotan punggungnya. Awak membaca hanya untuk mengukuhkan prinsip peribadi awak. Bukan untuk mengenali pandangan hidup manusia lain. Awak tidak berminat pun dengan kehidupan.

Munsyi: Saya minat dengan kehidupan. Saya hanya minat dengan sisi kehidupan yang memberikan pencerahan emosi. Yang mendekatkan diri saya dengan Tuhan.

Hogarth: Munsyi, awak inginkan kehidupan, tetapi awak tidak membenarkan pun seorang penulis itu untuk hadir dalam diri awak. Sebelum dia sempat masuk, pintu-pintu emosi awak sudah tertutup. Apa lagi fungsi pembacaan kalau bukan untuk melengkapkan roh kita sebagai manusia? Apa lagi fungsi pembacaan kalau bukan untuk membangunkan metafora dalam minda kepada setiap sisi, gelap mahupun cerah, yang kehidupan boleh tawarkan kepada kita? Apa lagi fungsi pembacaan, dalam usia hidup yang singkat ini, kalau bukan untuk mengenali manusia lain yang lebih bijaksana? Sekiranya seorang pembaca datang kepada seniman untuk menjatuhkan hukuman, maka peranan seniman itu akan gagal. Pembacaan itu akan gagal kerana seniman itu tidak dibenarkan untuk terjah masuk ke dalam kamar peribadinya. Latiff Mohidin melukiskan dengan jelas dilema ini dalam puisinya. Kegagalan seni - kegagalan puisi - untuk masuk ke dalam kehidupan manusia ialah ibarat rusa yang melompat masuk ke kamar dengan luka di tubuhnya. Ia mencari pembaca. Ia mencari manusia untuk menceritakan rahsia alam yang tersimpan dalam hatinya. Namun ketika ia di tengah hutan lagi, dengan penuh curiga dan prejudis, pembaca itu telah memanahnya dengan prinsip dan ilmu.

Munsyi: Semua itu hanya pendapat yang subjektif. Saya tidak percaya ada penilaian yang subjektif kerana apa yang subjektif itu akhirnya akan jadi juga kayu ukur yang objektif.

Hogarth: Ah, kayu ukur. Awak bercakap tentang kayu ukur seolah-olah penulis ialah pesalah yang akan dibicarakan di makhamah.

Munsyi: Setiap penulis bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya. Saya ambil contoh novel Ayu Utami, Saman. Saya menentang keras isu feminisme dan seksualiti yang diangkat dalam novel itu. Ia menyesatkan. Dan kalau itu ialah novel kita, saya yakin Ayu Utami akan dilaknat oleh pembaca dan wartawan.

Hogarth: Tetapi wartawan kita bukannya tahu membaca buku.

Munsyi: (Ketawa) Oh, kenapa pula?

Hogarth: Kewartawanan bukan kesusasteraan. Sebuah artikel mingguan tentang sastera bukan sebuah esei yang dilayak dibaca sebagai sebuah karya seni. Sama seperti sebuah sajak yang ditulis oleh seorang politikus tidak layak mendapat tempat di ruang sastera sebuah akhbar mingguan. Hanya seorang editor - seorang wartawan - yang akan melakukan kerja gila sebegitu. Dan tentang Ayu Utami, saya mesti terlebih dahulu jelaskan bahawa dia adalah seorang novelis yang lemah. Pembaca kita melompat masuk ke dalam Saman seolah-olah ia adalah produk kecantikkan terbaru di pasaran. Padahal ia adalah gincu murah yang apabila dipakai akan menyebabkan solekan di wajah kelihatan palsu. Itu saya belum bercakap tentang Othman Kelantan dan Abdullah Hussain.

Munsyi: Ia masih berbalik kepada taste peribadi awak. Suatu kayu ukur yang objektif.

Hogarth: Taste hanya wujud apabila adanya seni. Dan seni hanya wujud apabila adanya style. Ia adalah peribadi seorang seniman. Kita tidak boleh mengenali seni tanpa mengenali seorang seniman.

Munsyi: Bagaimana dengan ilmu? Bagaimana dengan pemikiran? Bagaimana dengan aspek makna yang awak abaikan sama sekali dalam penilaian awak?

Hogarth menoleh belakang untuk melihat sebuah keretapi menyusur keluar dari lubang stesen bagai peluru mencari sasaran di tengah hujan.

Hogarth: Makna dan bentuk tidak pernah terpisah. Ia adalah tubuh yang sama. Pemikiran hanya boleh hadir apabila adanya bahasa dan bahasa hanya boleh hadir apabila adanya pemikiran. Tanpa bahasa, roh manusia hanya ibarat matahari tanpa cahaya. Oleh sebab itu Munsyi, saya katakan bahawa sejarah itu tidak wujud. Segala mitos, hikayat, dan puisi tradisional bangsa Melayu tidak mungkin lahir dalam sebuah komuniti. Asal usulnya pasti datang dari seorang individu. Kalau tidak mana mungkin karya-karya itu boleh sampai kepada kita dan kekal relevan kalau ia tidak terlebih dahulu dihamilkan dalam minda seorang seniman Melayu yang genius. Ya, orang itu sudah tentu manusia di zamannya, tetapi bukan zaman itu yang menjadikan dia seorang seniman. Dia sendiri sebaliknya yang telah mencipta zaman itu.

Selesai minum, Encik Hogarth mengajak Encik Munsyi untuk naik keretapi bersamanya. Pada mulanya Encik Munsyi agak keberatan untuk ikut kerana dia sudah begitu lama menunggu di stesen itu dan dia yakin akan datang juga keretapi yang dia sepatutnya naik. Tetapi Encik Munsyi juga masih tidak berpuas hati dengan perbicangan dia bersama Hogarth. Lalu dia ikut juga.

Hogarth: Sampai bila awak akan tunggu di stesen itu?

Munsyi: Sampai keretapi saya datang.

Hogarth: Ia mungkin tidak akan datang.

Munsyi: Ia akan datang juga.

Hogarth: Seperti Godot.

Mereka sama-sama diam.

Hogarth: Sudah tengah hari. Awak akan makan apa?

Munsyi: Sesuatu yang berat dan mengenyangkan.

Hogarth: Tuna, roti, air kosong, dan rokok sudah cukup untuk saya.

Munsyi: Ringan sahaja hidangan awak.

Hogarth: Kenapa perlu berat? Bukan semua benda dalam hidup ini perlu diambil dengan serius. Seni pun sama.

Munsyi: Seni ialah tentang kehidupan. Tentang agama dan kekuasaan.

Hogarth: Besar sungguh cita-cita awak itu. Tetapi adalah kesalahan untuk menghadkan seni pada batas-batas kehidupan. Tidak. Ia mesti lebih dari itu. Ia mesti hidup dengan sendirinya.

Munsyi: Maksud awak?

Hogarth: Seperti saya katakan tadi, seni berada di hadapan kehidupan. Malah saya ingin tegaskan bahawa kehidupan itu lahir daripada seni. Bukan sebaliknya. Cuba anda bayangkan kalau penyair romantis seperti Wordsworth dan Keats tidak pernah wujud di dunia ini, adakah anda rasa manusia akan memandang alam dengan pandangan sama seperti sekarang? Tanpa romantisisme, globalisasi dan green movement tidak akan wujud. Tetapi ini hanya kepentingan sampingan. Perkembangan jiwa itu yang menentukan perkembangan sesuatu tamadun. Dalam tamadun yang terbaik itu seni dan budaya itu sentiasa wujud secara bersama. Ia hadir dalam tamadun itu bagai element dalam atmosfera Tanpa seni tidak ada budaya. Dan tanpa budaya, tidak akan ada tamadun. Ah, Munsyi, saya dah mula cakap hal-hal besar. Mari kita alihkan pada benda-benda yang lebih dekat dengan kehidupan harian.

Hogarth membuka beg dan mengeluarkan sebuah buku lukisan.

Hogarth: Lihat ini. Lukisan-lukisan oleh Jean Baptiste Chardin. Dia ialah pelukis master untuk lukisan jenis still life. Kalau awak perasan, dalam setiap lukisan ini, Chardin menggunakan objek-objek yang hampir sama. Ini tidak menghairankan kerana dia banyak melukis daripada rumah. Tetapi kenapa dipilihnya objek-objek ini? Latarnya, kalau awak teliti betul-betul, begitu simple dan agak dull, namun ia membantu mata kita untuk fokus pada objek lain seperti kad, raket, gelas, piring, kacamata. Chardin seperti tidak berminat untuk melontarkan mata kita ke tengah alam, tetapi sebaliknya memilih untuk merehatkan mata di rumah seolah-olah masa dalam hidup ini sangat singkat. Seolah-olah seni hanya ada masa yang sangat terhad buat manusia. Dan bukankah ia perasaan sama - iaitu perasaan yang usia seni itu begitu singkat - apabila kita membaca Chekhov dan Babel? Atau yang lebih dekat dengan zaman kita: Georges Perec. Saya suka untuk ingat kata-kata Stendhal bahawa seni itu ada banyak style seperti ada banyak jalan untuk mencapai kebahagiaan. Kebanyakkan manusia hanya menemui keindahan di hujung usia mereka kerana di waktu itu - ketika usia kian dekat dengan kematian - baru ranting-ranting di mata mereka mulai luruh. Ya, Munsyi, awak dan saya masih muda walaupun dunia ini sudah tua. Banyak lagi yang kita boleh bincangkan tentang seni. Tentang kehidupan. Namun tidak ada sungai yang mengalir dengan lurus. Ia pasti akan ada penyimpangan. Selamat jalan Munsyi. Saya ingin melakukan penyimpangan ke stesen seterusnya. Bagaimana dengan awak?



Comments

Popular Posts