Di Tangan Anak-Anak (Sapardi Djoko Damono)


Di Tangan Anak-Anak

Di tangan anak-anak, kertas menjelma perahu Sinbad

yang tak takluk pada gelombang, menjelma burung

yang jeritnya membukakan kelopak-kelopak bunga di hutan;


“Tuan, jangan kauganggu permainanku ini.”


Apa yang saya cari dalam sebuah karya sastera? Imaginasi. Apa yang saya cari dalam sebuah fiksyen? Imaginasi. Apa yang saya cari dalam sebuah puisi? Imaginasi. Fiksyen dan puisi itu tidak terpisah sebenarnya kerana puisi itu ialah fiksyen dan fiksyen itu juga ialah puisi. Tidak ada fiksyen yang hebat tanpa kata-kata yang indah, dan tidak ada puisi yang indah tanpa naratif yang memikat. Imaginasi ialah jambatan yang menghubungkan dua bentuk seni ini.

Sebetulnya, semua penyair mesti mempunyai kekuatan bahasa dan imaginasi. A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, dan Rahman Shaari itu mempunyai kekuatan bahasa (dan barangkali juga kekuatan intelektual) tapi mereka bukanlah penyair yang kuat tenaga imaginasi. Latiff dan Suhaimi ada imaginasi yang kuat, tapi bahasa mereka pulak yang kadang-kadang terlalu mudah dan kering. Rahimidin Zahari, T. Alias Taib, Chairil Anwar, Sapardi Djoko Damono ialah antara beberapa orang penyair yang saya lihat ada kekuatan dalam bahasa dan imaginasi. Kemuncak kekuasaan seni Sapardi boleh ditemui dalam sajak prosanya Di Tangan Anak-Anak.

Senjata puisi Sapardi ialah imejan. Selepas membaca sajak-sajaknya, kita tidak akan lupa imejan yang dilukiskannya dalam imaginasi kita. Imejan itu kerap kalinya ialah hujan. Atau bulan. Atau telaga, cermin, pisau, bas, matahari. Dan juga kertas yang kemudiannya menjelma menjadi perahu pengembaraan Sinbad. Tapi menurut Sapardi perahu ini "tak takluk pada gelombang." Kenapa? Kerana perahu ini dicipta dari alam imaginasi penyair. Kerana perahu ini tidak tertakluk pada batas-batas realiti. Kerana perahu ini, seperti sebuah puisi, bisa membawa kita ke alam pengembaraan yang tiada batasnya. Bahasa itu terbatas kerana ia hanya bisa bermain di dataran kertas putih yang ia dilahirkan dari rahim pena. Tapi imaginasi seorang penyair itu tidak ada batas. Ia boleh sahaja menjelma jadi perahu. Kemudian menjelma jadi seekor burung.

Burung ini, seperti perahu tadi, juga bukan burung biasa. Ia boleh dengan "jeritnya membukakan kelopak-kelopak bunga di hutan." Sungguh liar imaginasi Sapardi. Pada sama, ia juga sungguh tepat kerana suara kepenyairan seorang penyair itu ialah suara alam yang menghidupkan bunga-bunga emosi dalam taman hati kita.

Sekarang datang baris terakhir sajak ini yang, saya kira, menjemput pelbagai tafsiran di pihak kita. Dalam baris terkahir ini sahaja banyak perkara yang Sapardi berjaya ceritakan kepada kita. Pertama, kita mendapati yang sajak ini ialah permainan imaginasi seorang kanak-kanak. Tapi kanak-kanak di sini tidak semestinya dibaca secara literal, kerana ia boleh sahaja menggambarkan jiwa seorang seniman, iaitu Sapardi sendiri, yang tidak pernah - atau tidak ingin - menjadi dewasa. Kedua, ada kehadiran "Tuan" yang ternyata menggangu permainan imaginasi kanak-kanak ini. Siapakah dia? Kita tidak akan tahu. Dan tidak penting pun untuk tahu. Kalau Sapardi sendiri memberikan jawapan pun ia tidak akan mengubah apa-apa. Sebuah puisi yang bagus itu membangkitkan emosi kehidupan dalam diri kita. Ia seperti daun-daun sebuah pohon yang tidak pernah kering setiap kali kita datang memetiknya.

Sebuah puisi yang bagus tidak berakhir dengan satu makna. Dari satu makna itu, imaginasi kita bisa menjelmakannya menjadi makna yang baru lalu menjadikannya terus segar dalam ingatan dan hati kita.



Comments

Popular Posts