Infinite Jest


Infinite Jest
ialah antara novel yang saya sedang baca sekarang. 1040 ialah jumlah muka suratnya; menjadikan novel ini sebagai novel paling tebal dan paling eksperimental dalam koleksi saya. Novel ini ialah sebuah satira politik dan sosial ala Thomas Pynchon The Crying of Lot 49 (yang saya tidak suka) dan Don DeLelillo White Noise (yang saya sedikit suka) dan Salman Rushdie Midnight Children (yang saya agak suka). Novel satira mega ialah trend penulisan sekarang di Barat kerana novel ini membolehkan si novelis mencipta dunia yang sarat dengan watak-watak yang paranoid dan nerd dan bercakap dengan panjang lebar ala watak-watak dalam filem Quentin Tarantino; ia membolehkan si novelis menulis semula sejarah politik negara masing-masing dengan menjadikan peristiwa sejarah itu lebih huru-hara (seperti yang dibuat oleh DeLillo dalam Underworld) atau lebih magical (seperti yang dibuat oleh Rushdie dalam Midnight Children) atau menukarkan terus sejarah menjadi sebuah allegory yang tidak berkesudahan (seperti dalam kebanyakkan novel Thomas Pynchon). Gaya penulisan begini bukanlah suatu yang baru kerana para novelis ini hanya menggunakan semula gaya penulisan Henry Fielding dan Charles Dickens dan Laurence Sterne (terutama sekali novel Salman Rushdie) dengan penambahan sos-mustard-pascamoden dan sos-cili-multiculturalism yang James Wood telah melabelkan sebagai hysterical fiction. Perasaan hysteria ini juga terasa apabila saya membaca Infinite Jest seolah-olah setiap muka surat ialah cocaine yang dihidu oleh watak utama novel ini iaitu Hal Incandenza. Membacanya ialah seperti menonton filem Magnolia selama seminggu dengan bahagian akhirnya dipotong iaitu babak yang kita melihat jutaan katak jatuh dari udara. Barangkali masih terlalu awal untuk menilai novel kerana masih ada banyak bahagian yang perlu dibaca (misalnya formula matematik di bahagian appendix atau teknik-teknik untuk menurunkan katil atau langkah-langkah menghasilkan dadah dengan sendiri).

Buat masa sekarang saya akan membaca dahulu berulang-ulang kali novel Georges Perec (Life User Manual), novel Italo Calvino (If On a Winter's Night a Traveller), novel Nicholas Baker (A Box of Matches) dan Francoise Sagan (Bonjour Tristesse). Bagaimana dengan Infinite Jest? Entahlah; mungkin kena tunggu saya terkandas di atas sebuah pulau di tengah lautan yang kosong. Itupun, kalau saya membawa Infinite Jest bersama.

Comments

Popular Posts