Membaca John Ashbery


"Cuba awak baca puisi ini. John Ashbery ialah penyair terbaik di Amerika sekarang," kata saya kepada Aidil Khalid ketika kami berbual sambil minum teh di Winter's Warmer di The Curve. Puisi yang saya maksudkan berjudul Le Livre est sur la table. Tak faham? Ya, saya pun tidak faham apatah lagi Aidil yang nampak betul-betul blank ketika membacanya. Beginilah bunyi puisi itu:

All beauty resonance integrity,
Exists by deprivation or logic
Of strange position. This being so,

We can only imagine a world in which a woman
Walks and wears her hair and knows
All that she does not know. Yet we know

What her breasts are. And we give fullness
To the dream. The table supports the book,
The plume leaps in the hand...

"Saya tidak suka puisi yang bermula dengan kenyataan," protes Aidil yang merujuk kepada rangkap pertama puisi ini.

Ya, bunyinya memang sangat prosa. Malah, kita boleh katakan tidak puitis sama sekali. Tetapi itulah yang saya suka tentang puisi ini. Ia tidak puitis; ia tidak ingin menjadi puitis; ia tidak ingin dirinya dibaca sebagai sebuah puisi yang puitis. Ia adalah seperti seorang pelakon perempuan yang datang ke atas pentas berpakaian lelaki: kita tahu dia ialah seorang perempuan, dan pada masa sama kita tahu juga dia seorang lelaki. Mana yang lebih penting? Kebenaran realiti atau kebenaran puisi? Saya memilih kebenaran puisi kerana kita memang membeli tiket ke teater untuk ditipu; kita tidak inginkan realiti; kita tidak inginkan kebenaran; kita inginkan drama; kita ingin imaginasi kita dimainkan dan ditipu. Bahasa puisi ialah bahasa penipuan kerana tidak ada orang bercakap menggunakan bahasa puisi. Seperti Valery pernah sebut, puisi ialah "bahasa dalam bahasa." Setiap penyair mencipta bahasanya sendiri berdasarkan tradisi puisi dan karya para penyair yang datang sebelumnya. Bagi John Ashbery, dia datang daripada rahim kepenyairan Wallace Stevens dan para penyair surealis Perancis. John Ashbery ialah pengganti Wallace Stevens.

Susah sebenarnya nak jelaskan bagaimana seorang itu harus membaca puisi John Ashbery. Kita tidak boleh datang kepadanya seperti kita ingin membaca Muhammad Haji Salleh atau Chairil Anwar. John Ashbery tidak ingin mengajar apa-apa kepada kita. Dia hanya ingin kita baca apa yang ada di depan mata kita. Sebuah puisi harus mampu berdiri sebagai objeknya yang tersendiri, begitulah kredo kepenyairan John Ashbery yang gemanya mengingatkan kita kepada Wallace Stevens. Tetapi saya tidak pernah percaya kepada kredo kepenyairan. Barangkali Ashbery sendiri juga rasa begitu. Puisinya ialah gurauan dengan pembaca (kalau kita boleh faham jenakanya).

Comments

Popular Posts