Pembaca Shakespeare

Pembaca Shakespeare membaca dan tidak membaca Shakespeare. Ada dua tafsiran boleh dibuat daripada kenyataan saya ini. Pertama, seorang pembaca Shakespeare pada zaman sekarang tidak perlu membaca Shakespeare untuk menjadi pembacanya. Budaya popular telah mengambil alih teks Shakespeare dan mengangkat watak-wataknya menjadi watak komersil. Pengaruh Romeo and Juliet dalam budaya pop memang sangat jelas dan tidak perlu diceritakan dengan lebih lanjut. Hamlet, drama terbaik Shakespeare dan juga drama yang paling kerap dibincangkan, turut memancarkan cahaya geniusnya ke dalam budaya pop. Start Trek, Star Wars, Lord of the Rings, House dll, sekadar memberikan beberapa contoh. Perbandingan saya ini bukanlah untuk merendahkan Shakespeare ke status penulis komersil, tapi saya ingin menunjukkan bahawa Shakespeare ialah penulis yang universal dan genius. Walaupun Hamlet dan Horatio telah dijadikan model kepada watak hero dan pembantu-hero dalam kebanyakkan filem dan drama pop, tapi keunggulan mereka terus kekal merentasi masa, dan telah membentuk imej manusia di serata dunia. Shakespeare ialah semua manusia yang menjadi pembacanya.

Tafsiran saya yang pertama ini tidak membawa apa-apa kepentingan tetapi sekadar ingin memecahkan pintu minda pembaca umum yang barangkali baru sedar bahawa mereka juga sebenarnya ialah pembaca Shakespeare.

Tafsiran kedua. Membaca Shakespeare ialah membaca diri sendiri. Kita mencari Shakespeare dan pada sama kita mencari diri kita kerana Shakespeare ialah kita. Tapi pembaca yang hanya membaca Shakespeare tidak akan menemui dirinya kerana kita tidak akan dapat mencari Shakespeare dan menandingi kekuatan mindanya. Pembaca Shakespeare ialah pembaca yang dirinya dibaca oleh teks, dirinya dibaca oleh watak Shakespeare, Hamlet terutama sekali, dan dirinya dibaca oleh Shakespeare. Hamlet ialah satu-satunya drama Shakespeare yang kita berhubung secara langsung dengan watak utama iaitu Hamlet. Dan Hamlet menyedari kehadiran kita seperti dia mengetahui segala helah Raja Cladius. Apabila Polinius dan Rosencrantz cuba mempermainkan Hamlet, kita turut bersubahat kerana kita tahu konspirasi mereka, tapi sebaliknya kita dan mereka akhirnya dipermainkan oleh Hamlet. Kita tidak tahu rahsia dan motif sebenar setiap tindakkan Hamlet. Monolog Hamlet tidak boleh dibaca secara literal, terutama sekali selepas dia dirasuk hantu ayahnya, kerana Hamlet pada bila-bila masa boleh mempermainkan kita. Harold Bloom menyebut bahawa Horatio ialah Shakespeare dan wakil penonton di dalam cerita. Alasannya, Horatio ialah jendela untuk penonton atau pembaca melihat minda Hamlet. Horatio mendekatkan kita dengan Hamlet. Kalau ini benar sekalipun, Horatio (dan Hamlet sendiri) masih tidak dapat menceritakan Shakespeare kepada kita. Tenaga dan minda Shakespeare tidak dinafikan memang bergema dalam semua dramanya. Tapi sebagai pembaca Shakespeare, kita harus lebih bersedia dengan kekuatan tenaga dan ketajaman minda watak-wataknya. Hamlet, Macbeth, Lear, Falstaff dll ialah watak-watak Shakespeare yang tidak akan dipengaruhi oleh pembacaan kita, tapi sebaliknya mereka yang akan membaca dan mempengaruhi kita.

Comments

Popular Posts