Miramar (Naguib Mahfouz)


Naguib Mahfouz mula menulis pada tahun 1929 sewaktu dia baru berusia lapan belas tahun. Namun, pada tahun 1939 baru karya pertamanya diterbitkan iaitu cerita berjudul Abath al-Aqdar. Mahfouz menganggap penerbitan pertama ini sebagai kejayaan yang sangat bermakna dalam hidupnya. Selepas penerbitan karya itu, nama Mahfouz masih belum dikenali di Mesir mahupun di negara lain. Mahfouz hanya menjadi terkenal selepas penerbitan Cairo Trilogy pada tahun 1957. Novel Mahfouz yang banyak berkisar tentang latar politik dan sosial di Mesir, terutama sekali Cairo, telah mendorong ramai pihak untuk meletakkan dia di sebelah novelis sosial yang lain seperti Charles Dickens, Tolstoy, dan Dostoyevsky. Apabila seorang novelis itu menghasilakn novel-novel sosial, maka secara tidak langsung novelis itu pasti berhasrat untuk membuat suatu kritikan atau reformasi sosial melaui karyanya. Namun, hasrat yang sangat murni ini selalunya tenggelam begitu sahaja apabila latar politik yang dikritik itu sudah hilang. Dan yang tinggal hanyalah fiksyen itu sendiri iaitu imaginasi novelis yang memukau, kekuatan bahasa perbandingan, kehalusan gambaran latar, kehidupan yang kompleks, dan sudah tentu sekali watak yang kompleks. Bolehkah anda bayangkan novel Crime and Punishment tanpa Raskolnikov atau Salina tanpa Fakar atau Anna Karenina tanpa Anna Karenina. Dan bolehkah anda bayangkan novel Charles Dickens, yang dikatakan sangat berjaya sebagai reformasi sosial, tanpa unsur misteri dan komedi yang kemudiannya mempengaruhi penulis seperti Kafka dan Iris Murdoch dan sudah tentu A. Samad Said sendiri. Sekarang, mari kita melihat bersama novel Mahfouz yang saya akan bincangkan iaitu Miramar. Novel ini ialah antara novel Mahfouz yang terkemudian, tapi masih membawa subjek politik yang menjadi identiti dalam semua novelnya.

Miramar mengisahkan pengalaman enam orang watak yang tinggal di dalam sebuah rumah sewa yang dipanggil Pensian Miramar. Plot novel ini sangat mudah sehingga kadang-kadang nampak seperti tidak ada plot langsung. Naratif disampaikan dalam sudut pandangan pertama dan dibahagikan kepada empat orang watak. Amer Wagdi ialah orang pertama dan terakhir yang akan bercerita dalam novel ini. Dia ialah seorang lelaki tua yang datang kembali ke Alexandira mencari masa silamnya yang sudah hilang selepas berlakunya revolusi 1952. Amer pernah menjadi wartawan dan berkerja dalam parti Wafd yang pernah memerintah Mesir sewaktu zaman pasca perang dunia sebelum digulingkan pada tahun 1952. Amer ialah watak yang mempunyai persamaan paling jelas dengan Mahfouz sendiri yang juga pernah berkerja sebagai kakitangan awam dan mempunyai perasaan simpati terhadap generasi sebelum revolusi 1952. Di mata Amer, Alexandria ialah sebuah kota kenangan seolah-olah masa tidak pernah meninggalkan bandar itu. “Alexandria. At last. Alexandria, Lady of the Dew. Bloom of white nimbus. Bosom of radiance, wet with sky-water. Core of nostalgia steeped in honey and tears.” Begitulah reaksi Amer ketika baru sampai di Alexandria. Dia kemudia menyewa bilik di Pencen Miramar yang dimilikki oleh Miranda, seorang perempuan tua berketurunan Yunani dan rakan lama Amer yang dia sudah tidak jumpa selama hampir dua puluh tahun. Perbualan mereka membuka kembali kenangan lama dan sejarah yang pernah berlaku dalam hidup masing-masing.

Dialog Mahfouz dalam novel ini berbentuk ringkas dan diselang-seli dengan monolog dalaman. Setiap pencerita mempunyai lintasan fikiran dan monolog dalaman berbeza yang digunakan oleh Mahfouz bagi menunjukkan kisah silam dan konflik dalaman watak. Monolog mereka bukanlah bersifat psikologikal seperti yang kita jumpa dalam monolog Anna Karenina atau watak-watak Faulkner dalam As I Lay Dying, tapi lebih bersifat politik kerana manusia-manusia Mahfouz ialah manusia politik. Persepsi Amer dan juga watak-watak lain adalah bersifat politik. Tolba Bey Marzuq, yang datang menyewa bilik selepas Amer, memandang rendah pada orang kelas bawahan disebabkan latar belakangnya sebagai tuan tanah dan juga seorang bangsawan. Kemudian datang watak Zohra, seorang gadis desa yang lari daripada kampung kerana ingin mengelak daripada dipaksa kahwin oleh ahli keluarganya. Zohra telah menjadi orang gaji di Miramar dan keseluruhan novel ini secara tidak langsung berkisar di sekeliling watak Zohra kerana rupa parasnya yang cantik telah menarik minat Sarhan el-Beheiry, Hosny Alam, dan Mansour Bahy, iaitu tiga orang lelaki yang juga menyewa bilik di Miramar. Ketiga-tiga orang lelaki ini menjadi narator selepas berakhirnya naratif Amer Wagdi dalam bab pertama, tapi setiap seorang daripada mereka hanya mengulang kembali peristiwa yang telah berlaku dalam naratif Amer. Maksudnya, dalam setiap bab pembaca akan dibawa kembali ke babak kedatangan ketiga-tiga orang watak ini di Miramar dan pengalaman peribadi mereka terhadap peristiwa yang berlaku selepas itu. Penggunaan sudut pandangan pertama telah membolekan setiap narator menceritakan secara langsung persepsi mereka terhadap watak lain dan peristiwa yang berlaku. Jika plot konvensional itu berbentuk segi tiga, maka plot dalam novel ini (kalau ada plot) berbentuk bulatan. Pembaca bergerak dalam bulatan sama menggunakan minda watak yang berbeza. Bulatan ini tidaklah lengkap pada mulanya kerana di akhir bab pertama telah berlaku pembunuhan misteri. Jawapan pada misteri ini hanya diketahui selepas naratif kembali kepada Amer Wagdi dalam bab terakhir.

Miramar ialah sebuah novel yang nipis. Ia bukanlah sebuah epik sosial seperti Bleak House atau Salina. Bahasa Mahfouz yang ringkas dan gambaran latarnya yang sederhana membolehkan saya untuk menghabiskan novel ini dalam masa dua hari. Novel ini lebih menyerupai As I Lay Dying dan To The Lighthouse dari segi teknik penceritaan. Berbanding dua novel ini, Miramar ternyata lebih jelas subjek politiknya, dan pada masa ia mengurungkan novel ini dalam sejarah politik Mesir. Manusia-manusia Mahfouz mewakili parti politik, kelas sosial, dan generasi zaman masing-masing. Mereka tidak mempunyai kompleksiti kemanusiaan dan psikologi seperti yang kita temui dalam novel Faulkner atau Virginia Woolf. Bagi mendapatkan kepuasan membaca Miramar, pembaca perlu memerhatikan konflik yang berlaku dalam hubungan antara keenam-enam watak. Konflik mereka menggambarkan kekurangan dan kelemahan prinsip yang dipegang oleh setiap watak. Secara mudah, kita boleh katakan bahawa Miramar ialah sebuah kritikan sosial yang membuka minda pembaca tentang isu politik yang cuba diperjuangkan, tapi cahayanya tidaklah memancar lebih terang daripada itu.

Comments

Popular Posts