Melunas Hasrat (Osman Ayob)

Begitu mudah cerpen Osman Ayob (Melunas Hasrat) dalam Dewan Sastera bulan Disember: seorang jemaah haji bernama Karim ingin mengucup Hajarul Aswad setelah enam hari berada di Kota Mekah. Berbekalkan premis ini, Osman Ayob merangka sebuah plot yang kronologi dan menolak naratif mengikut keinginan Karim dan apabila kita tiba di penghujung cerita, setelah Karim berjaya melunaskan hasratnya, minda dan perasaan kita masih tawar kerana cerita ini tidak memberikan suatu pengalaman estetik yang bermakna.

Cerita bermula di bilik hotel yang Karim tinggal bersama tiga orang rakannya: Kamal, Badri, dan Musa. Kehadiran tiga orang rakan ini hanya memberikan sumbangan kecil sebagai pencetus konflik dan penyelamat Karim di penghujung cerita apabila dua orang Indonesia menuntut upah membantu Karim mengucup Hajarul Aswad. Usaha penulis melukiskan latar belakang watak-watak sampingan ini bersifat lewah dan melambatkan perjalanan plot.

"Badri sama senasib dengannya. Masing-masing sudah kematian isteri sejak dua tahun lalu. Isterinya meninggal dunia kerana payu dara. Isteri Badri pula meninggal dunia kerana barah rahim."

Fakta-fakta kematian seperti di atas sudah menjadi klise dalam fiksyen kita. Malah, kehadiran fakta-fakta ini menampakkan sikap penulis yang enggan membina watak dengan teliti; dia sekadar memberikan label-label klise yang kita sudah jumpa berulang-ulang kali dalam karya penulis lain

Seterusnya mari kita lihat cara penulis mengembangkan plot setelah Karim masih tegas ingin mengucup Hajarul Aswad walaupun selepas dipujuk oleh Badri. Penulis meletakkan Karim di jendela dan mula menggambarkan latar di sekitar Hijaz Palace Hotel yang menghadap Masjidil Haram. Di sini, sekali lagi, penulis sengaja melambatkan perjalanan plot. Pertama, babak ini tidak membantu mendalamkan pemahaman pembaca akan motif Karim untuk mengucup Hajarul Aswad. Penulis sahaja cipta babak jenis ini (seperti kebanyakkan penulis picisan) untuk biar masa berjalan. Kedua, gambaran penulis tentang latar di kawasan itu masih belum betul-betul teliti sehingga sukar untuk pembaca membayangkan imej yang bermain di imaginasi penulis. Misalnya, penulis menceritakan tentang "para peniaga bermacam jenis barangan." Barang apa yang penulis maksudkan? Saya terpaksa bayangkan barang itu barang ini bagi mengisi lubang yang si penulis telah buat dengan malas sekali.

Apabila cerita bergerak ke bahagian kedua, kita mendapati penulis sudah kehilangan ilham dan fokus. Dia ingin membantu Karim mengucup Hajrul Aswad, tetapi disebabkan nalurinya terikat dengan struktur plot konvensional, dia terpaksa memasukkan konflik bagi mengumpan minat pembaca. Maka, penulis memperkenalkan dua orang watak Indonesia yang membantu Karim pergi mengucup Hajarul Aswad dan pada masa menuntut upah yang mahal. Tuntutan mereka gagal setelah digertak oleh Musa. Cerita berakhir dengan semua watak kembali tidur, termasuk Karim yang sudah mengantuk kerana berjaga untuk pergi melunaskan hasratnya. Kita juga akan turut berasa mengantuk kerana penulis telah meleretkan plotnya dengan babak yang melencong terus daripada fokus sebenar cerpen di bahagian pertama. Penulis sepatutnya memberikan fokus pada hasrat terpendam Karim dan menghaluskan lagi setiap ayatnya dan membuang label-label klise yang melekat di sana sini.

Isi (pemikiran, ideologi, moral) yang bagus bukan jaminan akan lahir sebuah karya seni yang sempurna. Kecenderungan Osman Ayob untuk memilih tema Islamik (seperti kebanyakkan penulis kita sekarang) mungkin akan memikat minat dan simpati pembaca biasa. Namun, tanpa pelaksanaan yang imaginatif dan teliti, maka karya-karya seperti ini akan hanya menambahkan lambakkan karya-karya 'plastik' dalam sastera negara kita.

Comments

Popular Posts