Cinta Lama Berputik Kembali


Haruki Murakami dalam kumpulan cerpennya berjudul Blind Willow Sleeping Woman, menyebut bahawa menulis novel itu seperti mananam pohon-pohon hutan, sementara menulis cerpen itu seperti membina sebuah taman. Bagaimana dengan puisi? Kalau cerpen itu taman, maka puisi saya anggap sebagai bunga-bunga dalam taman.


Sebuah cerpen boleh dibaca sekali-lalu tanpa mengambil kisah setiap bunga yang ada di taman itu. Tetapi apabila kita membaca sebuah puisi, kita hanya ingin melihat satu bunga. Hanya satu bunga, yang digubah dengan indah, daripada pelbagai jenis bunga dalam sebuah taman yang luas.


Saya melangkah masuk ke dalam dunia sastera bersama bunga puisi. Pada peringkat awal, saya hanya mengenali puisi-puisi A.Samad Said; jadi sajak yang saya tulis sangat menekankan aspek bunyi dan irama. Tidak pernah ada yang tersiar kerana pada masa itu saya belum mengetahui format penulisan yang betul, dan cara menghantar manuskrip kepada editor. Selepas mengikuti bengkel penulisan cerpen bersama Zaharah Nawawi, saya jatuh cinta dengan cerpen; dunia puisi ditinggalkan terus sehingga akhirnya saya merasakan bahasa saya menjadi tidak segar. Cerpen terakhir yang saya rasa ada kesegaran bahasa ialah Menjadi Gagak Putih (Tunas Cipta 07). Cerpen-cerpen saya yang baharu kelihatan agak kering gaya bahasanya.


Kini, setelah hampir dua tahun meninggalkan dunia puisi, saya telah jatuh cinta kembali. Puisi A.Samad Said masih dibaca, tetapi guru saya sekarang ialah puisi-puisi Muhammad Haji Salleh dan Rumi. Muhammad Haji Salleh mengajar saya bahawa puisi yang intelektual boleh ditulis menggunakan bunga bahasa yang minimal. Dan Rumi mengajar saya tentang agama, kehidupan, kerohanian, dan bagaimana semua ini boleh digabung menjadi sebuah puisi yang indah. Terima kasih kepada dua orang penyair ini yang membuat saya jatuh cinta kembali.

Comments

Popular Posts